Saturday, February 19, 2011

Titipan Kasih buat Atuk - Almarhumah Lijah binti Baman


DIA YANG AKU PANGGIL ATUK 

Aku panggil dia Atuk. Bahkan sepupu-sepupu yang lain pun panggil dia Atuk biar pun ada yang kata kenapa panggil Atuk ? Dia kan perempuan, panggil lah Nenek. Biarlah apa orang nak panggil, ia tetap merujuk pada insan yang sama, nenda kami semua iaitu LIJAH BINTI BAMAN. Ibu kepada Emak aku. Lahir pada 22 November 1920. Tapi di kad pengenalan JPN mencatatkan tahun kelahirannya pada 1902.

Aku tak berapa rapat dengan Atuk. Maka, kisah peribadinya dan latar belakangnya begitu sikit yang aku tahu. Tapi sudah menjadi rutin, setiap kali Aidilfitri menjelma, aku dan keluarga akan pulang ke Kampung Sawah Baru, Tenang di Labis. Dari aku kecik hingga aku dah berkahwin, tradisi ini diteruskan. Emak dan Abah akan bawa kami adik beradik balik kampung Atuk. Dan satu perkara yang aku suka sangat masa kecik2, bila balik kampong Atuk..ialah sebab ada sungai yang cantik belakang rumah Atuk.

MEMORI TENTANG ATUK

Bila Atuk dah pergi, baru lah terasa ketidaannya. Menjelma lah semua kenangan2 masa silam di kampung Atuk. Rumah kayu yang kini usang. Aku rasa kali terakhir aku beraya di situ pada tahun 2007. Selepas itu rumah Atuk dah tak dikunjungi anak-anak dan cucu-cucunya dan cicit-cicitnya. Selepas Atuk jatuh tangga, dan sakit…Atuk dah tak tinggal sendiri lagi. Dia di bawa pergi anak-anak tinggal bersama. Bersilih ganti anak-anak bergilir menjaganya hingga saat dia pergi.

Bila Atuk dah tiada, tergiang-giang suara kuat Atuk kat telinga aku. Atuk bukan suka menjerit, tapi bila dah tua..dia kurang dengar. Sebab itu dia cakap kuat. Mata Atuk pun dah tak nampak. Pakai cermin mata masih juga tak jelas. Terbayang-bayang wajah kedut Atuk yang begitu kurus, uzur dan tua selari dengan usianya yang mencecah 109 tahun mengikut kad pengenalan. Tapi sebenarnya usia Atuk baru 91 tahun.

TERIMA KASIH ATUK

Atuk ada 9 orang anak. 7 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Terima kasih Atuk kerana berkorban nyawa masa melahirkan mereka semua. Terima kasih Atuk sebab bagi nama yang baik-baik kepada mereka, termasuk Emak aku. Tak ada Atuk, tak ada lah aku. Emak aku anak perempuan kedua dalam keluarga besar ini. Atuk ada ramai cucu, sebab semua anak-anak Atuk dah dewasa dan berkahwin. Malah Atuk juga mempunyai cicit. Tapi aku tak ingat berapa bilangan sebenar cucu dan cicit Atuk, sebab aku dan sepupu-sepupu jarang sekali dapat berkumpul bersama-sama. Malah ada antara sepupu, masing-masing tak kenal. Kenapa ? Sebab ada anak-anak Atuk yang jarang balik kampung dan perkenalkan anak-anak mereka pada aku.

Anak-anak Atuk semua masih hidup. Terima kasih Atuk, kerana membesar kan dan mendidik mereka semua hingga kini hidup dalam fizikal dan tubuh yang sihat. Rupa yang cantik. Mewariskan hidung yang mancung pada Emak, hingga aku pun ada memilikinya sama. Terima kasih hantar mereka ke sekolah. Yang lelaki semua bekerja, malah ada yang jadi askar dan polis. Aku tak tahu, bila suami Atuk meninggal…tapi bila Atuk dah tiada, baru aku sibuk nak cari Emak aku nak bertanya itu ini. Tapi yang aku tahu, pasti Atuk hidup sunyi bila suami dah tiada dan apabila anak-anak dah berkahwin dan memulakan kehidupan mereka sendiri. Tinggal lah Atuk kat rumah kampung sendiri, pasti sentiasa menunggu-menunggu kepulangan anak dan cucu.

Terima kasih Atuk kerana walaupun hubungan kita tak rapat, tapi aku masih terkesan dengan memori kau sebagai Atuk aku. Terima kasih Atuk, kerana setiap kali aku dan cucu-cucu yang lain pulang, kau tak pernah gagal buat air kopi o atau teh susu yang manis. Bangun seawal subuh menguli roti canai buat santapan sarapan anak-anak, menantu dan cucu yang pulang. Menjelang raya, membuat ketupat, masak kurma ayam dan kari ayam buat juadah lebaran. Yang kadang-kadang juadah Atuk buat aku cirit-birit setiap kali raya. Rindunya aku pada semua itu. Rindunya aku nak dengar suara Atuk bebel-bebel kat cucu-cucu masa kami kecik2 dulu, sebab suka berendam kat sungai belakang rumah sampai kecut tangan dan kaki.

Selepas Atuk sakit, aku dah tak sambut raya di kampung Atuk. Yang aku tahu tradisi keluarga aku dah berubah. Emak dan Abah dah tak balik Kg. Sawah Baru, tapi pergi melawat Atuk di rumah anak yang menjaga Atuk. Ada waktunya Atuk di KL dijaga Pak Usu, kadang di Perak, dijaga Pak Chik. Kadang di Segamat dijaga Pak Ngah atau Pak Anjang. Dan ada masa di Kluang, di jaga oleh Pak Itam. Persinggahan terakhir Atuk di Tangkak, dijaga anak perempuan sulung Atuk, Mak Long.

Yang pasti, Atuk tak pernah berada di rumah Emak aku. Kenapa ? Bukan anak perempuan Atuk yang kedua ini tidak sudi, tapi harap Atuk faham, Emak juga tidak sihat. Tahun 2008, hampir 4 bulan Emak keluar masuk wad. Emak nak menjaga diri tak terlarat, bagaimana nak mengurus Atuk. Moga Atuk faham…tak bersama tak bermakna Emak tidak sayang Atuk. Aku yakin itu, kerana Emak tidak pernah gagal melawat dan menjenguk Atuk walau di mana lokasi Atuk sepanjang Atuk sakit. Emak juga selalu berpesan pada aku adik-beradik supaya jangan lupa melawat Atuk, jangan tunggu raya saja baru nak melawat. Emak masih terapkan tradisi menziarahi Atuk pada aku dan adik beradik walaupun Atuk dah tak tinggal kat kampung. Terima kasih Atuk, kerana warisan didikan dan nilai tinggi ini kepada Emak.

SAAT DIA PERGI

Terakhir kali menatap wajah Atuk ialah 4 bulan yang lalu. Bulan Oktober .Pada Aidilfitri 2010. Iaitu Aidilfitri terakhir yang Atuk sambut. Silap aku, amat aku kesali...raya-raya sebelum itu malas pergi jenguk Atuk. Sebab kadang-kadang Atuk terlalu jauh di KL atau Perak. Raya terakhir jd kampung Atukp ada tahun 2007 tak silap. Ketika itu , Atuk masih sihat dan aku mengandungkan anak sulung, Qayyum. Selepas Atuk jatuh tangga, dan dijaga Pak Usu di KL, aku dah tak ikut serta rombongan Emak dan adik-beradik yang lain melawat Atuk. Raya tahun 2010, aku rasa terlalu rindu dan nak sangat jumpa Atuk . Nak Atuk tengok wajah anak aku Qayyum, walaupun aku tahu mata Atuk bukannnya nampak sangat.

Anak-anak, cucu dan cicit Atuk ramai sangat kat rumah Mak Long pada raya lepas. Semua datang menziarahi Atuk. Wajah Atuk ketika itu nampak ceria walaupun dah kedut dan nampak tua. Atuk kurus sangat, tapi masih boleh bercakap dan duduk berborak walaupun percakapan Atuk dah tak jelas. Gigi Atuk dah tak ada semua, nampak mulut Atuk agak kecut dan pipi kelihatan kempong terperosok ke dalam. Aku boleh borak dan bercakap dengan Atuk. Atuk ingat lagi nama anak-anak dan cucu dia. Malah Atuk sempat cium cicit yang pertama kalinya nak jumpa Buyut nya, iaitu Qayyum anak aku. Itu kali terakhir aku menziarahi Atuk. Anak-anak Atuk yang tiada ketika itu ialah Pak Uda dan Pak Usu. Mereka tinggal jauh, kat KL sana nun. 7 lagi anak Atuk semua ada datang bawa isteri, suami, anak, menantu dan cucu.

Cuti Raya Cina 2011, Emak maklumkan Atuk sakit. Aku tak berpeluang pergi tengok Atuk. Tapi Along aku dan Emak sempat singgah jenguk Atuk selepas balik dari Selangor melawat Adik aku di sana. Kata Along, uzur sangat Atuk. Terbaring lesu dan mengerang kesakitan. Macam terbiar dan terurus saja keadaannya. Bau Atuk pun tak sedap. Mungkin tak mandi dah berapa hari. Lampin Atuk pun tak tahu lah berapa kali tukar sehari atau langsung tak bertukar sebab bau nya sangat kuat masa Along dan Emak datang jenguk. Emak kata Atuk jatuh. Tak tahu cerita sebenar. Tapi kata Emak dua kali jatuh, pertama jatuh katil, dan kali kedua jatuh semasa di bilik air. Ketika Atuk jatuh, itulah hari sepatutnya dia membuang undi di Tenang. Atuk adalah moyang tertua yang dikhabarkan dalam surat khabar Metro bertarikh 26 Jan 2011.

Along cakap Atuk begitu menahan kesakitan. Dia nak bangun bila Emak, Abah, Along, suami dan anak-anak Along sampai. Tapi bila bangun terjerit-jerit sakit. Macam terseliuh tulang lagaknya. Atuk nampak sangat lapar. Along suap kan kuih, tapi susah sekali Atuk nak telan.  Lantas ditanya pada Mak Long, tak hantar hospital atau hantar urut ? Mak Long kata tak ada. Alangkah sedihnya mendengar perkhabaran itu. Kenapa Atuk melalui saat-saat derita begitu ? Tak ada duit kah Mak Long nak uruskannya ? Mustahil ! Sebab menurut Emak, Atuk ada sumber kewangan. Kebun getah Atuk di kampung banyak hasilnya dan lagi-lagi bila harga getah naik. Dah hampir 2 tahun Atuk tinggal dengan Mak Long, dan Pak Andak tak pernah tak hantar duit hasil getah Atuk pada Mak Long. Bukan ratus-ratus, tapi mencecah ribu-ribu setiap bulan.

Lantas keadaan Atuk dikhabarkan kepada anak-anak Atuk. Sikap dan cara Mak Long macam marah-marah seoalah-olah adik beradik yang lain tak ambik kisah dan bertanggungjawab dengan kesihatan Atuk. Seolah-olah semua beban diletakkan di bahu nya seorang. Sedih tengok Atuk , bila Mak Long dan keluarganya macam tak suka Atuk di situ. Tapi kenapa sebelum ini tak bagitahu kalau tak suka ? Kenapa masa Atuk dah terbaring baru nak mengeluh dan membebel bagai. Masa Atuk sihat, masa duit Atuk dihantar tiap-tiap bulan pada keluarga Mak Long, tak ada pulak dengar rungutan tak suka. Along kata, memang nak saja ambil Atuk bawak balik rumah ketika itu, tetapi kereta tak muat. Dan pada 2 Feb 2011, tiga hari selepas Atuk jatuh…Pak Itam dari Kluang datang jemput Atuk. Kesian melihat keadaan Atuk dibiarkan terbaring tanpa sebarang rawatan.

MASUK HOSPITAL

Rutin aku dan suami balik ke rumah Emak bila cuti. Aku dah berjanji dengan Along dan Angah untuk berjumpa dan habiskan cuti bersama. Sampai rumah Emak, dapat berita Atuk sakit. Tak lama kemudian, Along dapat panggilan dari Intan anak Pak Itam. Atuk dah masuk Jabatan Kecemasan di hospital Kluang sebaik saja sampai perjalanan dari Tangkak. Hati aku dah tak sedap. Aku minta Emak telefon semua adik-beradik yang lain. Sepantas kilat Emak call semua. Ada yang dah maklum, ada yang tak dapat dihubungi.

Pagi-pagi Emak dah bersiap-siap nak ke hospital. Aku dan suami pun siap sama. Kami anak-beranak nak segera melawat Atuk. Intan maklumkan Atuk dah koma. Kena serangan strok, dan telah masuk wad.

Sampai hospital, ramai yang dah ada. Mak Itam yang menjaga Atuk sepanjang malam dah balik ke rumah untuk berehat. Tinggallah Pak Chik, Pak Anjang, Pak Andak, Pak Ngah dan Emak yang baru sampai. Aku masuk tengok Atuk, memang terbaring kelemahan. Mata tertutup. Tangan sejuk beku. Sedih tengok tangan-tangan Atuk yang tinggal tulang tu dicucuk jarum dan wayar. Mulut Atuk dibekalkan tiub oksigen. Tekanan darah Atuk dipantau guna mesin. Dada Atuk turun naik, agak susah bernafas. Masa tengok Atuk, tak terucap kesedihan. Betapa uzurnya, betapa derita Atuk tanggung kesakitan.

Mak Ngah, Mak Chik, Mak Andak baca Yassin. Emak aku yang bertongkat pun duduk sekali baca Yassin. Abah datang pegang tangan Atuk dan bacakan Yassin. Aku sedekah kan Al-Fatihah, berdoa dalam hati semoga Allah ringankan sakit Atuk. Lepas itu aku keluar wad, tak tahan sebak tengok Atuk.

KRISIS

Di luar wad, penuh anak, menantu, cucu dan cicit Atuk. Aku tercari-cari siapa anak Atuk yang tak ada masa tu. Kelibat Mak Long tak ada. Pak Uda dan Pak Usu pun tak ada. Aku tanya pakcik dan makcik aku mana mereka. Menurut Pak Chik, Pak Uda dalam perjalanan dari KL ke Kluang. Naik scooter, lambat sebab tak ada kereta. Tak apa lah..asal kan dia berusaha nak balik dan sempat jenguk Atuk. Mak Long pulak, menurut Mak Chik..ada datang, tapi duduk jauh dari sekitar wad Atuk. Aku pun tak nak tanya kenapa dan tak nak timbul kan krisis. Agaknya Mak Long mencari ruang buat dirinya sendiri. Barangkali sedang bermuhasabah tentang sikapnya dan barangkali melarikan diri dari soalan-soalan dari adik-beradik tentang bagaimana Atuk jadi begitu. Aku tak kisah semua itu, yang aku tahu…dia nak juga datang tengok Atuk.

Tinggal seorang anak Atuk yang tak pasti nak balik jenguk Atuk atau tidak. Anak bongsu Atuk, anak kesayangan Atuk. Pak Usu. Duduk di KL. Memang jauh nak balik kan. Tapi bagi aku, bila dikhabarkan tentang orang tersayang dalam keadaan koma, balik sejuta kali pun aku sanggup. Takut tak sempat nak berjumpa lagi. Tapi Pak Usu aku ni, Angah aku dah call, adik beradik lain dah call…dia masih tak cakap nak balik atau tidak.Lepas try call lagi, dia off kan hp. Sedih kan. Kenapa dia buat Atuk macam tu ? Aku risau, risau Atuk tunggu kepulangan dia. Ya..Allah, kenapa perlu jadi krisis begini ?

Apa puncanya ? Kenapa anak-anak Atuk tak bersatu hati ? Aku pernah dengar Emak cerita. Masa itu aku kecik lagi. Emak kata Pak Usu dan Pak Uda masa zaman muda mereka pernah gaduh. Tentang duit. Pak Uda pernah pukul Pak Usu sebab mintak duit. Hampir kena seterika muka Pak Usu dibuatnya. Sejak itu, Pak Usu memang putus hubungan dengan Pak Uda walaupun kedua mereka tinggal di KL. Tapi adik-beradik yang lain masih berhubungan dengan Pak Uda. Tapi aku memang kurang kenal dengan Pak Uda sebab dia jarang balik kampung masa raya. Isteri dan anak-anaknya pun aku tak kenal. Dia balik ziarah Atuk biasanya bukan waktu raya, jadi jaranglah aku bersemuka dengan keluarganya.

Tapi sekarang Pak Uda dah berubah. Dah tak panas baran macam dulu.Dia juga berkali-kali cuba mohon maaf dari Pak Usu, tapi Pak Usu tak ingin memaafkannya. Masa dia sampai kat wad hari tu, terus dia tengok Atuk kat katil. Dibacakannya yassin. Dan menjelang zohor, dia panggil semua anak, menantu, cucu dan cucu menantu ke surau. Buat solat hajat buat Atuk. Tapi aku tetap tak faham sikap Pak Uda. Punya lah dia bersusah payah menunggang scooter dari KL ke Kluang, datang tengok Atuk tak sampai 2 jam nak balik semula ke KL. Dia bukan bekerja pun..t.ak tahu apa urusan yang lebih penting sangat sampai dia berkejar masa nak balik. Maka selepas solat hajat dia bertolak balik. Anak Pak Uda yang menunggang satu lagi scooter, dan isterinya menurut saja. Penat kebas punggung tak hilang dah nak patah balik.

Tengah aku dan ramai-ramai kat luar wad Atuk, datang Mak Long. Aku tengok muka dia sedih. Aku tak tahu dia datang dari arah mana. Tapi kata Mak Chik dia memang dah lama ada di hospital. Pagi-pagi tadi dia dah jenguk Atuk di wad. Dia datang dengan anaknya Kak Nor, dan menantunya. Aku rasa aku pun dah tak ingat muka Kak Nor, sebab last tengok masa dia kawin 20 tahun yang lalu. So, pasti wajah dan fizikal pun dah berubah. Mak Long jenguk Atuk sekali lagi. Sekejap saja. Lepas tu dia terus salam-salam semua orang cakap nak balik Tangkak. Sebak pulak aku tengok wajah tua Mak Long. Wajah tua. Kesian dia, dia dah tak ada suami. Jalan pun dah tak kuat, perasaan nak marah-marah dia sebab Atuk tadi, jadi tak terucap dan sampai hati. Aku simpan jer dalam hati.

Pak Usu, tinggal dia seorang yang tak muncul. Aku rasa memang dia tak akan balik. Sebab malam sebelum nya, Emak aku ada call suruh dia balik…dia kata susah nak cuti. Dia baru saja balik Tenang mengundi 3 hari lalu. Baru nak naik kerja. Emak aku dah ingatkan dia, jangan terlambat, nanti menyesal tak sempat mohon ampun. Pak Usu kata tak apa, sebab dia dah mohon maaf dan datang jumpa Atuk selepas raya tempoh hari. Sebak aku dengar. Apakah urusan kerja lebih penting dari saat kepergian seorang ibu ?

Apa masalah Pak Usu ni ? sanggup tak nak tengok Atuk, entah-entah ini saja peluang terakhir tengok wajah Atuk yang masih bernyawa. Siapa yang krisis dengan siapa ? Adakah Pak Usu marah kan adik-beradik yang lain sebab masa mula-mula Atuk sakit dulu, bertahun dia jaga sendiri. Tak de pula dapat duit hasil kebun getah macam Mak Long. Ataupun Pak Usu marah bila adik-beradik tanya status kebun Atuk yang tiba-tiba dah bertukar geran atas nama Pak Usu sebelum ini ?

Entah lah…aku tak dapat teka apa yang pak Usu fikir ketika itu. Kepala aku cuma fikir Atuk, kesihatan Atuk, kesian tengok Atuk dan macam mana kalau Atuk pergi masa tu.  Apa kesannya jika jadi anak derhaka, tak sayang kah Pak Usu pada Atuk ? Tak nyesal kah dia nanti ? Tak terbayang-bayang kah Pak Usu muka Atuk ? Ya Allah….adakah dah tiba masanya untuk aku kehilangan Atuk ? Macam-macam aku fikir.

NAFAS TERAKHIR

Saat Atuk menghembuskan nafas terakhir, wajah anak bongsu dan kesayangan Atuk masih tak kunjung tiba. Maka tetap lah takdir Nya, Atuk pergi tanpa dapat ditatapi Pak Usu. Alhamdulillah…Atuk pergi dengan mudah. Aku tidak menyaksikan saat-saat terakhir Atuk menghembus nafas. Aku di luar wad ketika itu, menemani Emak yang terduduk sebab kesakitan dan kelenguhan kaki.

Menurut Along, yang menyaksikan Atuk pergi. Atuk pergi dengan mudah. Pak Andak yang bertugas sebagai dresser, memang dah tahu tiada harapan bila melihat tekanan darah Atuk. Masa dada Atuk menarik nafas dengan tersekat-sekat, Pak andak buka kan salur oksigen. Pak Andak bisik kan kalimah syahadah kat telinga Atuk. Pak Andak pegang tangan Atuk dan bisikkan kalimah itu berkali-kali. Terlihat mulut Atuk terkumat-kumit, seolah mengikuti syahadah yang dibacakan. Dua kali Atuk tarik nafas dengan kuat dan dia pergi setelah itu. Kelihatan menitis air mata Atuk pada nafasnya yang terakhir. Benarlah sakit ketika roh dicabut seperti ditikam sebanyak 300 tikaman. Sampai keluar air mata dari mata Atuk yang tertutup. Alhamdulillah…sakaratul maut Atuk sekejap dan mudah. Semoga Allah rahmati roh Atuk.

Masa Atuk terkaku diam, Pak Andak arahkan yang ada di situ panggil nurse dan doktor. Masa tu aku dan Emak masuk segera. Aku tahu Atuk dah tak ada. Tapi prosedur biasa perlu dijalankan untuk doktor membuat pengesahan kematian. Sementara doktor datang, aku tengok Pak Andak suluh mata Atuk, check nadi Atuk. Terlihat air mata bergenang di mata Pak Andak. Dan doktor datang dan ulang sekali lagi prosedur yang dibuat Pak Andak. 

Doktor mengesahkan Atuk telah tiada tepat jam 4.30 petang pada 3/2/2011. Tapi menurut Along, waktu sebenar Atuk pergi ialah 4.15 petang. Atuk pergi dengan mudah. Atuk tak menyusahkan sesiapa. Saat dia pergi jatuh cuti umum - Cuti Raya Cina. Dah pasti semua anak-anak, cucu dan cicit cuti kerja dan cuti sekolah. Atuk di hospital pun cuma semalaman, maka tak adalah timbul masalah siapa pula nak menjaga Atuk. Begitu adil dan indah perancangan Allah kan, ssat Atuk pergi hidupnya derita. Tetapi waktu dAtuk dijemput ajal, Allah memudahkan urusannya. Subhanallah !

Aku keluar wad sambil memimpin Emak, aku lihat Emak menangis. Di luar, aku lihat Pak Anjang menangis memeluk tiang. Mak Chik menangis terkilan tak dapat menemani Atuk saat akhir. Yang ada bersama Atuk ketika sampai ajalnya ialah Pak Andak, Mak Itam, Intan, Mak Ngah, Mak Andak, Along, Abah aku. Ramai yang menangis, aku rasa semua menangis dan masing-masing cuba sorokkan wajah masing-masing. Yang tak menangis ialah cicit-cicit Atuk yang kecik, yang tak faham apa-apa lagi. Kalau nangis pun sebab penat, ngantuk, nak susu, lapar atau bergaduh.

PENGURUSAN JENAZAH

Pak Chik terus menghubungi Pak Uda dan Mak Long memaklumkan pemergian Atuk. Pak Chik minta Pak Uda patah balik untuk sama-sama semadikan Atuk. Pak Uda ketika itu dah sampai Pagoh. Tapi dia berkeras tak mahu patah balik. Dia minta pengebumian Atuk dibuat esok hari. Sebab dia mahu bawa anaknya seorang lagi datang tengok jenazah Atuk esoknya. Tapi, mana lah elok jenazah dilambat-lambatkan urusannya. Terseksa rohnya nanti.

Mak Long pula, bila Pak Chik hubungi cuma memberitahu supaya adik-beradik yang lain uruskan. Dia serah semuanya pada adik-beradik yang lain. Dia tak mahu terlibat. Dia serah semuanya pada yang ada di hospital. Kenapa Mak Long ? Tak sedih kah buat ibu sendiri begitu ? Nanti waktu Mak Long pula pergi, sedih tak kalau anak-nak tak nak uruskan ?

Pak Usu pula, bila aku hantar sms dan dihubungi oleh siapa, aku tak pasti..Angah aku atau Pak Chik, dijawab oleh anaknya saja. Sms aku tak berbalas. Agaknya apa perasaan Pak Usu waktu tahu Atuk dah tiada ? Nangis tak ? Sedih tak ? Aku tak ada jawapan, sebab tak nampak muka Pak Usu. Usahkan nak video call, hp nya di off kan terus. Dapat hubunginya pun melalui hp anak nya Mira.

Ya Allah…tergamaknya dalam situasi ini, anak-anak sanggup dan sampai hati tak nak melihat dan menguruskan jenazah ibu sendiri ? Atuk, mengapa takdir mu begini ? Tapi jangan bersedih Atuk, anak-anak, cucu, cucu menantu dan cicit yang datiang dan ada di hospital ini akan uruskan Atuk secepat mungkin dan sebaik mungkin. Kami akan hantar Atuk bersemadi dengan keadaan yang baik, tenang dan dalam situasi Atuk tidak rasa diabaikan !

BERSEMADILAH DENGAN AMAN

Anak-anak Atuk telah buat keputusan untuk memandikan Atuk dan mengkafankan Atuk di hospital. Waktu dah petang, buat kami semua perlu cepat. Supaya Atuk dapat disemadkan sebelum hari gelap. Kami tak mahu Atuk terbujur kaku begitu lama. Kami nak hantar Atuk cepat-cepat bertemu pencipta kita semua - Allah swt. Kerana urusan dunia Atuk telah tamat segalanya, buat apa kita nak lambatkan urusan Atuk dengan Nya.

Cuma agak terkilan dengan pengurusan hospital, bila kita maklumkan pada nurse nak uruskan jenazah di hospital, rupanya mereka tak menghubungi rumah mayat. Jadi tubuh Atuk terbujur kaku atas katil hampir 1 jam. Bila keadaan terlalu lama, Pak Andak bersama Pak Itam pergi sendiri ke rumah mayat minta dibawakan keranda untuk membawa jenazah Atuk.

Adalah lebih afdhal anak perempuan memandikan ibunya bila dah jadi jenazah. Pengurusan memandikan Atuk dikendalikan oleh 2 orang pekerja hospital. Juga disertai Emak, Mak Chik dan Mak Ngah.  Walaupun pada awalnya Emak macam enggan turut serta sebab faktor kesihatan. Emak bertongkat dan tak boleh berdiri lama. Tapi Along menasihati dan memberi pendapat dengan berhemah pada Emak. Along cakap "Pergilah Emak, ini saja peluang Emak nak mandikan Atuk. Mandikan ibu Emak sendiri, buat kali terakhir. Tak ada hari lain yang Emak boleh putar dan ulang peristiwa ini". Sebak aku mendengar. Menurut Emak, masa mandikan Atuk, terlihat seluruh tubuh Atuk lebam-lebam. Dan belakang badan Atuk di bahagian belikat, sedikit terkoyak, merah berdarah. Emak kata, mungkin kesan luka dan terkoyak masa Atuk jatuh dan cuba berpaut pada pintu peti sejuk. Akibatnya pintu peti sejuk tertanggal dan bucunya terkena badan belakang Atuk. Sedih sekali aku dengar, sambil membayangkan penderitaan kesakitan yang ditanggung Atuk. Kalau boleh aku nak turut serta mandikan Atuk. Along pun nak turut sama. Tapi aku dan Along dinasihatkan tak perlu ikut sama kerana aku mengandung 2 bulan, dan Along ada anak kecil berumur setahun.

Setelah siap semuanya, jenazah Atuk dibawa ke rumah Pak Itam di Kg. Seri Lalang, Ayer Hitam. Dari hospital Kluang kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta. Jenazah Atuk dibawa menaiki van. Abah dan Pak Chik ikut naik van jenazah. Atuk akan dikebumikan di sana. Kami tak dapat menghantar Atuk pulang di sawah Baru, kerana hari dah hampir gelap. Dan perjalanan jauh, mengambil masa 2 jam. Tambahan pula, rumah Atuk di kampung, telah diduduki oleh penyewa. Takkan mereka sudi terima jenazah Atuk ? walau pun tuan rumah, tapi tiada ikatan sedara dengan mereka. Bukan kah itu menyukarkan mereka nanti ? Kami semua tak mahu roh Atuk terseksa sakit dek perjalanan yang jauh, jadi kami nak memudahkan semuanya. Maka bersemadilah Atuk di Kg. Seri Lalang Ayer Hitam.

SEMBAHYANG JENAZAH

Sembanhyang jenazah dibuat di rumah Pak Itam. Masa jenazah sampai, aku lihat saudara-mara yang ada terus mengelilingi Atuk. Membacakan surah Yassin buat Atuk. Jenazah Atuk terbujur kaku dilitupi kain batik. Kain batik di bawa oleh Mak Chik dari Perak. Kata Mak Chik memang tergerak hatinya bawa kain itu, macam dah tahu saja kepergian Atuk. Bahagian muka pula ditutupi selendang nipis berwarna putih.

Pengebumian Atuk dibuat selepas solat maghrib memandangkan hari dah gelap. Anak-nak, cucu dan cucu menantu bersembahyang jemaah maghrib dan solat jenazah. Diketuai oleh imam kampung tersebut. Sebelum jenazah Atuk diangkat pergi ke kubur, wajah Atuk dibuka buat tatapan akhir semua. Aku datang dekat Atuk. Aku cium dahi Atuk. Emak, Pak Itam, Pak Anjang, Mak Itam dan ramai lagi semua cium dahi Atuk buat kali terakhir.Pak Itam dan Pak Anjang orang paling lama cium dahi Atuk. Pak Andak tak sempat rasanya cium dahi Atuk sebab dia pergi ke kedai fotostat, buat salinan surat pengesahan kematian untuk permit pengebumian Atuk.

Wajah Atuk begitu tenang. Sejuk dahi Atuk. Cantik berseri muka Atuk. Putih bersih. Kening Atuk cantik terbentuk dek celak. Hidung Atuk, mancung tegak terpatuk. Atuk tak nampak macam orang mati. Tengok macam orang sedang tidur saja. Bau Atuk wangi sangat. Jauh beza wajah Atuk masa di hospital, yang mana pipi nya nampak terperosok kempong, hidungnya jatuh dan muka berkedut dan uzur menahan sakit. Wajah Atuk selepas dikafan begitu cantik sekali. Ya Allah….Kau permudahkan lah segala urusan Atuk.

Aku rasa aku teruk sekali menahan tangis. Emak pesan jangan nangis. Masa nak cium juga Emak pesan kat aku, pastikan air mata kering, baru boleh cium kerana tak nak rosakkan wudhu dan keadaan Atuk yang dah suci. Ini kali pertama kematian keluarga yang aku lalui saat aku dah dewasa. Masa Atuk lelaki aku pergi, aku rasa ku kecil lagi. Entah-entah aku belum lahir pun. Oleh sebab itu, memang aku terkesan sekali, kerana yang pergi ini ialah Atuk aku. Orang yang aku ziarah setiap kali raya dari aku kecil hingga aku berumur 32 tahun.


LIANG LAHAD

Pengurusan jenazah di kampung Pak Itam tak pernah dibuat pada waktu malam. Ini kerana pihak pengurusan  kampung tiada lampu. Maka terpaksalah Pak Itam memanggil pihak pengurusan jenazah swasta. Tanah kubur di kawasan masjid terang benderang dengan lampu spot light yang dibawa oleh pihak yang kami panggil ini.

Selepas selesai semua mencium dahi Atuk, Atuk dibawa masuk van jenazah. Maka beramai-ramailah mengiringi Atuk ke tanah kubur. Ada yang menaiki motor, ada yang naik kereta, ada juga yang berjalan kaki saja, kerana dari rumah Mak Itam hanya 10 minit perjalanan berjalan kaki.

Aku tak ikut sama kerana menjaga Qayyum. Suami aku dan sedara-mara lain pergi mengiringi Atuk buat kali terakhir. Emak pergi juga, walaupun bertongkat, dengan kaki yang sakit…Emak gagahkan diri. Emak tak nak terlepas melihat wajah ibunya buat kali terakhir sebelum ditutup tanah.

Maka selesai dikebumikan, maka dibacakan talkin dan doa. Dan semasa imam, bertanyakan siapa nama ibu kepada Atuk, maka suasana sunyi seketika. Seolah macam tiada siapa yang ingat. Maka jawablah Emak aku masa itu. Dan masa Emak cerita pada aku, baru lah aku tahu nama moyang ku ialah ‘Susah’. Itu lah aku, bila Atuk tiada…baru nak ambik tahu.


HARTA PENINGGALAN

Selesai pengebumian Atuk, maka semua pulang ke rumah Pak Itam. Jemaah lelaki terus duduk di ruang tamu. Abah terus mengetuai solat Isya berjemaah, selepas itu bacaan tahlil dibuat.Diketuai Abah juga.

Sepanjang bacaan tahlil, aku masih terbayang-bayang wajah Atuk. Kesiannya Atuk ditinggal sorang-sorang dalam tanah. Dalam keadaan gelap, sunyi…takutnya. Tapi aku cepat-cepat berdoa. Moga Allah terangkan kubur Atuk. Aku sedekahkan Al-Fatihah banyak-banyak buat Atuk.

Cicit-cicit Atuk yang masih kecil tak faham lagi apa yang berlaku. Termasuk anak aku Qayyum. Bila aku dengar perbualan anak Along, Zeti dengan anak Angah, Alya…aku makin sebak. Zeti cakap pada Alya “ Sian kan buyut. Dah mati. Dia kena tanam dalam kubur sorang-sorang”. Terus aku terbayangkan bila pula tiba saatnya untuk aku. Kerana aku yakin, setiap manusia akan lalui saat yang sama. Mati itu pasti buat semua.

Sebelum kami semua bersurai, ada juga yang tidur di rumah Pak Itam..Pak Itam dan pak Andak memanggil anak-anak Atuk yang lain untuk lihat barang-barang peninggalan Atuk. Beg Atuk yang dulu warna hitam, yang sentiasa penuh duit, barang kemas…telah diserahkan oleh Mak Long kepada Pak Itam semasa dia datang jemput Atuk di Tangkak. Tapi beg Atuk dah bertukar warna putih. Berat beg dah ringan, duit yang dulu banyak ribu-ribu..tinggal RM250 saja. Barang lain yg ada dalam beg ialah cermin mata, pisau untuk potong kuku dan buku ASB. Pak Itam kata, masa dia ambik beg dari Mak Long tak terbuka mulut nak tanya mana Mak Long simpan duit Atuk yang Pak andak hantar beribu-ribu tiap bulan. Pak Itam, tak payah lah tanya dalam situasi sekarang. Nanti lagi keruh situasi dan tak elok sebab Atuk baru saja pergi.Barang kemas Atuk semua ada, cuma gelang tangan saja satu dah putus kat rumah Mak Long dan tak ditemui. Semua barang Atuk dipegang oleh Pak Itam.

Ke mana duit Atuk ? Mak Long ambik ? Atau anak-anak mak Long ambik dan guna sepanjang hampir 2 tahun Atuk tinggal dengan mereka ? Biar lah Mak Long yang jawab. Tak payah lah Emak dan adik-beradik Emak nak pergi tanya. Nanti jadi gaduh dan tentunya Atuk tak suka anak-anaknya berpecah belah.

Tanah kebun getah Atuk, betul ke Atuk hadiah kan pada Pak Usu ? Atau pak Usu ambil secara tanpa disedari Atuk ? Bagi aku, adik-beradik dan Emak..kami tak pentingkan pun duit Atuk atau tanah Atuk. Sama ada betul cerita Atuk, yg mengatakan dia ditipu Pak Usu supaya turunkan cop jari kat pejabat tanah, konon nya nak dapat bantuan tanaman semula getah, tapi rupanya penyerahan tukar nama geran tanah, hanya Atuk dan Pak Usu yang tahu.

Tapi kalau aku jadi Pak Usu, biar pun Atuk hadiah kan aku tanah kebun tu…aku lebih rela beralah. Biar aku pulang semula, kerana macam tak manis ambil bahagian itu walaupun dihadiahkan..dengan mengetepikan hak-hak adik-beradik yang lain. Yang meneroka tanah, menebang hutan..bersusah payah mengusahakan tanah kebun itu ialah pak Itam, Pak Ngah dan Pak Anjang. Mereka berhempas pulas buka tanah kebun itu  semasa mereka muda lalu dihadiahkan kepada Atuk. Bak kata pepatah, biar sedikit, tapi sama-sama merasa. Aku akan pilih jalinan adik-beradik daripada bermasam mmuka dan putus saudara hanya kerana 6 ekar tanah kebun getah.Tambahan pula, bukan kah Pak Usu dah mendapat tanah tapak rumah Atuk di Sawah Baru. Rumah Atuk pun Pak Usu dah sewakan pada orang. Tak cukup kah itu ?

Ataupun Pak Usu datanglah  bersemuka jumpa semua adik-beradik, bagitahu memang Atuk hadiahkan tanah itu buat Pak Usu. Ini berjumpa tak mahu apatah lagi berbincang. Emak dan adik-beradik yang lain tak akan rebutkan tanah itu. Cuma yang kurang enak, semasa Atuk masih ada…bila ditanya Atuk cakap dia tak pernah bagi tanah itu pada Pak Usu. Itu yang adik-beradik Pak Usu bimbangkan. Takut Pak Usu ambil tanah pusaka itu secara tidak betul. Bukan mereka berebutkan tanah itu. Mereka semua sudah redha dan ikhlaskan andainya memang benar Atuk hadiahkan kepada Pak Usu. Barangkali, betul Atuk hadiahkan tapi dia terlupa. Maklumlah Atuk telah berusia, mudah lupa dan daya ingatan dah tak kuat.

HARAPAN

Aku harap anak-anak Atuk dapat berbaik-baik semula. Aku juga berdoa supaya Mak Long dapat menjelaskan semua persoalan-persoalan yang berlegar-legar di kepala adik-beradik yang lain. Lebih elok Mak Long yang berterus terang dan bercakap, kerana Mak Long kan anak yang paling tua. Nanti bila adik-adik yang cakap, rasa kurang hormat pulak atau erti kata lain dipanggil 'kurang ajar'.

Aku juga harap, Pak Uda dan Pak Usu berbaik dan saling memaafkan. Dan aku juga harap Pak Uda menyesal sebab tak patah balik tengok Atuk tempoh hari. Kalau dah niat balik Johor tengok Atuk, kenapa tak teruskan saja niat itu...sepatutnya Pak Uda mendampingi Atuk dan iringi dia ke tanah kubur. Barulah sempurna lawatan Pak Uda itu. Langsung tak menyesal kah ? 

Pak Usu pula, jangan lah terus putuskan hubungan dengan adik-beradik yang lain. Ketidak hadiran Pak Usu pada hari pemergian Atuk betul-betul buat semua hampa dengan tindakan Pak Usu. Dan belum terlambat, andainya tersilap langkah..untuk membaiki kekhilafan diri.

Buat waris-waris Lijah binti Baman, jangan lupakan Atuk. Sedekahkan tahlil dan Al-fatihah buat Atuk. Doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Sesungguhnya apabila mati anak Adam itu, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara :
  1. Sedekah jariyah yang dibuatnya semasa hidup
  2. Ilmu yang bermanfaat,
  3. Anak soleh/ solehah yang mendoakan kepadanya.
Ingatlah bahawa harta dunia yang kita kejar, tak akan kekal. Tak boleh dibawa mati pun. Oleh itu, jangan lah kita bergaduh atau terputus hubungan kerana harta. Dan jangan juga kerana harta kita mudah lupa diri, gelap mata dan hati lantas menjadi riak serta sombong. Harta itu godaan dunia, buat manusia hilang pertimbangan, bergaduh dan sesat.

PENGAJARAN

Seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak. Belum tentu sepuluh anak itu boleh menjaga seorang ibu. Ibu  tidak pernah meminta apa-apa dari anak mereka apalagi wang, kasih sayang yang didambakan. Tetapi kasih sayang dan kebahagiaan itu pun kita susah sangat nak beri kan? Kenapa ? sedar kah kita kasih sayang adalah melebihi segalanya. Bukan harta atau wang ringgit. Tanpa kasih sayang dari ibu ini tadi,  entah hidup entah tidak kita pada hari ini.

Pemergian Atuk juga membuat kan aku sedar, selama ku hidup ini…adakah Emak aku merasa bahagia dengan apa aku buat sekarang ?

Kematian Atuk membuat aku menginsafi diri. Mendekatkan aku kepada Allah, mengingatkan aku cukup kah amalan aku selama ini untuk bekalan aku apabila mati. Bagaimanakah nasib aku nanti semasa aku pula yang dijemput AJAL ? Adakah anak-anak ku akan ingat pada aku ? Menguruskan aku dan menghantar aku hingga ke liang lahad ? InsyaAllah.


SALAM INGATAN
 Perkongsian  Hidup
Mohd Jali bin Senut & Lijah binti Baman

Anak-Anak :
Mak Long – Zaharah binti Mohd Jali
Pak Ngah – Suhir bin Mohd Jali
Pak Uda – Wahab bin Moh Jali
Mak Uteh (Emak) – Azizah binti Mohd Jali
Pak Anjang – Manaf bin Mohd Jali
Pak Itam – Sulaiman bin Mohd Jali
Pak Andak – Sahak bin Mohd Jali
Pak Chik - Mustapha bin Mohd Jali 
Pak Usu – Mohd Din bin Mohd Jali.






3 comments:

songlapman said...

umok olag lamao di tue kan..kalao di malaya ketikao dulu dulu..untok dapek kad boreh..ration beras laaa..

songlapman said...

zamei dulu2 .,,lien laak .seolah2 ibarat 1 anoak lehh jagao 10 ibu bapao,,seklang nie 10 anoak susoah bonar noak jagao 1 ibu bapao,,

songlapman said...

kamu semue patut bersyukur sobab banyaouk ahli keluarga ..langsung toak langsung dapek membantu meringan kan ..keadaoien sebagitiu..walau puion sometimes definately one balck sheep in a family....nantie aku ketengah kien bab ceritao aku laak....Salei selalu

Post a Comment